MASYARAKAT Melayu masih ramai belum mengetahui bahawa di Melaka ada
beberapa orang tokoh dunia Melayu yang terkorban sebagai syuhada kerana
membela kemuliaan Islam dan bangsa Melayu.
Mereka sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi
berjuang mengusir penjajah Portugis mahupun Belanda. Di antara sekian
ramai yang gugur sebagai syuhada termasuklah seorang ulama sufi dunia
Melayu yang paling terkenal. Beliau bermakam di Melaka. Ulama yang
dimaksudkan ialah Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang terkorban sebagai
syuhada kerana berperang dengan Portugis.
Sejarah yang penting tentang tokoh besar yang syahid fisabilillah di
Melaka juga ialah Raja Haji bin Upu Daeng Celak yang terkorban kerana
melawan penjajah Belanda. Saya berpendapat bahawa Raja Haji ialah
pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam
Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang
amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel
ini.
Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan
raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal
daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di
Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di
Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.
Hubungan dengan ulama
Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam
ruangan ini, disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau
sempat bergaul dengan beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat
berjumpa dengan Saiyid Husein al-Qadri di Mempawah, iaitu guru ayah
saudaranya Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti
Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu. Gusti Jamiril adalah
saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan demikian
tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya
itu, berpengaruh terhadap Raja Haji.
Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar
kepada Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah
Mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam
beliau disebut Keramat Pokok Sena terletak di Perkuburan Kampung
Pedalaman Mempawah. Hubungan Raja Haji dengan Saiyid Abdur Rahman bin
Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga sangat dekat.
Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu Daeng
Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi
ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal
itu. Keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin
Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan lain-lain.
Gelaran yang disandang
Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah
Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda
Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum
Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah
pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia
memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik
Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.
Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja
memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan
pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor
dan Siak.
Sewaktu Syarif Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji
ialah sebagai Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24
Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula
melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama
Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran
kerajaan itu.
Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah
menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya
Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi,
Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan
dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama Pangeran Diponegoro, Imam
Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan saja dan tidak
mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan
Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak
pengalaman dalam peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar
Sulawesi Selatan.
Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti
memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan
bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada penjajah. Ada yang
tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang tersebut
berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang
daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M
Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan
Belanda pimpinan Jacob Pieter van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang
tewas bersama Raja Haji dianggarkan sekitar 500 orang. Sebagaimana pada
mukadimah yang telah saya nyatakan, ... Raja Haji bin Upu Daeng Celak
merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat
sesudah Hang Tuah....
Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih
bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai
sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta yang tidak dapat ditolak.
Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti Raja Haji pahlawan
dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.
Kejadian aneh
Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh
terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid
fisabilillah seperti berikut, Syahdan adalah aku dapat khabar daripada
itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi
ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka
ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal
akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya
sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada
peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu
melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal
yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang
ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang
lepas.
Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah
al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka
itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah
qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu
dengan nama Raja Api adanya.... (Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu,
hlm. 151)
Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang
yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan
agama Islam atau memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang
dicintainya. Perjuangan demikian mencerminkan kerana patuh kepada
perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan Abdullah Munsyi dalam
buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja Haji ditanam
tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah.
Tulisan Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut, Sebermula di
balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja
Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka
isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi
Melaka pada zaman Holanda maka adalah daripada zaman itu sampai masa
ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:)
kira-kira lebih sedikit daripada 60 tahun maka hampir-hampir dapat
Melaka olehnya. Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung
semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja
yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di
dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina,
Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka
adalah beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan
peluru di Tanjung Palas nama tempatnya. Kemudian diambil Holanda
mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut itu. Ada pun
khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian ada kira-kira
20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu
dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak
dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu
dibawanyalah pergi.... (Hikayat Abdullah, hlm. 57 - 58)
Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi
adalah sukar diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang
ditulis oleh Raja Ali Haji seperti tersebut di atas. Kedua, orang yang
wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah dimuliakan oleh Allah
s.w.t.. Dalam al-Quran disebutkan bahawa orang-orang yang mati syahid
adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki. Dalam hadis Nabi
s.a.w. pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid.
Pandangan saya ini bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan
pembohongan dalam tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal
kalimatnya, Ada pun khabarnya yang kudengar. Oleh itu pelbagai andaian
boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar yang didengar itu sengaja
diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan penguasa penjajah
ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu Islam
yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam.
Kedua, kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi
menulis sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap
kalimat dan perkataan yang ditulisnya.
Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis
secara bebas, khusus pada konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun
perkataan demi perkataan Abdullah Munsyi mengandung unsur-unsur politik
yang menguntungkan pihak penjajah pada zamannya. Sebagai contoh,
walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji adalah seorang Raja
Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi menyebut pula
bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi
tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di
sini dapat diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang
Melayu untuk berpihak kepada Raja Haji sukar dipadamkan.
Operasi pemulihan besar-besaran: Mayat 12 rakyat Palestin ditemui dari
runtuhan di Nuseirat, Zeitoun
-
Isnin, 14/09/2026 – Kru Pertahanan Awam di Semenanjung Gaza telah menemui
mayat 12 rakyat Palestin dari bawah runtuhan dua rumah yang musnah akibat
seran...
2 days ago


